Pernah tak terlintas di fikiran, mengapa setiap perguruan mempunyai cara tersendiri dalam mengajarkan Silat? Sebenarnya, hal ini berpunca daripada tumpuan dan falsafah guru utama serta pengasas sistem itu sendiri. Setiap perguruan lahir daripada konteksnya yaitu zaman, masyarakat, dan keperluan yang melahirkan ilmunya.
Pertama, ia
bergantung kepada kebolehan murid. Seorang guru yang bijaksana akan menilai
tahap fizikal, mental, dan spiritual anak muridnya sebelum menentukan bentuk
pengajaran. Ada murid yang cepat menangkap gerak, tetapi lambat memahami makna.
Ada pula yang kelihatan lembab di gelanggang, tetapi tajam hatinya. Maka guru
akan sesuaikan pendekatannya agar setiap murid berkembang mengikut fitrahnya.
Kedua, strategi
mengajar memainkan peranan besar. Ada perguruan yang menekankan disiplin keras
dan latihan berulang untuk membentuk daya tahan serta jiwa juang. Ada pula yang
menggunakan pendekatan lembut dan falsafah, menanam kefahaman dahulu sebelum
gerak. Cara ini bukan sekadar soal teknik, tetapi cara menyampaikan warisan supaya bukan hanya tangan yang bergerak,
tetapi hati juga hidup bersama ilmu itu.
Ketiga, keperluan
strategis pada waktu itu turut menentukan bentuk sistem. Pada zaman kuno dan juga zaman penjajahan,
misalnya, banyak perguruan membentuk sistem yang ringkas tetapi berkesan untuk
mempertahankan diri dalam keadaan genting. Pada zaman moden, ada perguruan yang
menyesuaikan diri dengan cabaran baru dari pengiktirafan seni warisan, ke pengajian
akademik dan terapi tubuh. Maka setiap perubahan zaman menuntut strategi baru
tanpa mengorbankan akar tradisi.
Kerana itu, setiap perguruan membawa roh tersendiri. Ia bukan semata-mata soal gerak atau jurus, tetapi bagaimana satu ilmu diturunkan kepada jiwa yang lain.
Setiap perguruan lahir dari tanahnya sendiri,
dari pengalaman hidup dan cabaran zamannya. Justeru, cara yang berbeza bukan
bererti salah, tetapi menunjukkan jalan-jalan yang beragam menuju tujuan yang
sama: pembentukan insan yang seimbang lahir dan batin.
Apabila kita belajar
menghormati perbezaan, kita sebenarnya sedang memperluas pandangan. Seorang
pendekar sejati tidak akan cepat menilai cara orang lain, kerana dia tahu
setiap langkah ada sejarahnya, setiap gerak ada sebabnya. Dalam perbezaan
itulah kita dapat saling belajar sambil mencari makna yang lebih dalam daripada
sekadar bentuk luaran.
Silat bukan hanya tentang siapa paling kuat atau paling pantas, tetapi siapa yang paling mampu memahami diri dan alam. Maka, apabila kita meraikan perbezaan, kita sedang menjaga roh silaturahim antara perguruan, antara guru, antara murid. Itulah semangat sebenar warisan bukan untuk bersaing, tetapi untuk menyempurnakan satu sama lain.
No comments:
Post a Comment